Home News Pakatan akan kembalikan integriti wilayah di Sarawak jika menang PRU14

Pakatan akan kembalikan integriti wilayah di Sarawak jika menang PRU14

Pakatan akan kembalikan integriti wilayah di Sarawak jika menang PRU14

AGENDA utama Pakatan Harapan (PH) di Sarawak selepas menang pilihan raya umum adalah mengembalikan integiriti wilayah dan memberikan lebih banyak kuasa kepada negeri Borneo itu.

PH ketika mendedahkan “bahagian 2” manifesto pilihan rayanya pada konvensyen di Sibu hari ini mengatakan agenda utamanya bila berkuasa kelak adalah untuk menangani dan menghapuskan “dua teras utama yang terus digunakan Barisan Nasional untuk menipu penduduk Sarawak dan berkuasa di Sarawak- penghapusan integriti wilayah dan penghapusan kuasa”.

Integriti dan pemberian semula kuasanya adalah untuk “merawat luka lama sepanjang 55 tahun berada dalam Malaysia”.

Manifesto itu yang dilancarkan oleh Timbalan Presiden PH Muhyiddin Yassin dan pemimpin PH negeri menegaskan yang gabungan pembangkang itu komited untuk menghormati Perjanjian Malaysia 1963 dan mengembalikan kuasa asal Sarawak “dalam konteks Perjanjian Malaysia 1963”.

Sarawak adalah salah satu daripada empat wilayah bersama-sama Persekutuan Tanah Melayu, Singapura dan Borneo Utara (kini Sabah) yang membentuk Malaysia tetapi pada 1976, kerajaan Barisan Nasional meminda Perlembagaan dan mengurangkan status Sabah dan Sarawak dan hanya dianggap negeri ke-12 dan 13 yang membentuk Malaysia.

Ketika membacakan “Perjanjian Baru” itu, Adun Piasau Alan Ling berkata Suruhanjaya Diraja akan dibentuk “untuk menyemak pelbagai perundangan yang menjejaskan hak Sarawak untuk menguruskan sumber semulajadinya, termasuklah tetapi tidak terhad kepada Akta Pelantar Benua 1966, Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan Akta Wilayah Laut 2012”.

Dalam cadangan penurunan kuasa pula, Pakatan berjanji untuk mengurangkan kawalan yang selama ini dilakukan kerajaan BN dalam hal pendapatan negeri berkaitan dengan peruntukan bajet untuk pembangunan dan dana pelaksanaan projek dengan melaksanakan pengagihkuasaan fiskal.

Di bawah pengagihkuasaan itu, Pakatan akan mengurangkan kuasa percukaian dan Sarawak akan diberikan 50% hasil kutipan cukai yang dikutip di negeri itu.

Selain itu, Sarawak juga akan menerima 20% royalti minyak dan gas atau jumlah setaraf daripada kerajaan persekutuan yang sudah lama dituntut negeri itu.

Dalam bidang pendidikan pula, PH mengatakan walaupun mereka akan terus menjunjung dasar pendidikan negara, hak autonomi termasuklah “hak membuat keputusan dalam pendidikan” akan dikembalikan kepada negeri bagi “meningkatkan penyampaian perkhidmatan demi faedah kanak-kanak dan belia Sarawak”.

Dengan pengembalian hak dan berdasarkan keperluan dan demografik Sarawak, ibu bapa akan mempunyai pilihan untuk mendidik anak mereka dalam Bahasa Melayu atau Inggeris atau Mandarin di sekolah yang menawarkan bahasa tersebut sebagai pilihan bahasa perantara.

Ia juga akan menjadikan sukatan mata pelajaran lebih bersifat tempatan yang mengandungi bahasa, sejarah, politik dan geografi tempatan.

PH berkata di bawah perubahan sistem pendidikan negeri, ia akan menilai kembali dasar kakitangan dan pentadbiran bagi membolehkan guru-guru memberi tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran dalam kelas dan tidak lagi dibebankan dengan urusan pentadbiran. 

PH juga berjanji untuk menubuhkan pusat pengajian di universiti bagi pengajian dan pembangunan semua bahasa orang asal Sarawak, pengetahuan tradisional negeri itu, dan pengetahuan sejarah dan antropologinya.

Ia akan mewujudkan geran pendidikan negeri yang akan diberi berasaskan merit untuk pelajar dan belia yang mempunyai masalah kewangan tetapi mahu menyambung pelajaran tinggi di dalam negara dan luar negara.

Dalam aspek kesihatan pula, PH juga berjanji untuk mengembalikan hak membuat keputusan kepada negeri.

“Sistem kesihatan yang terlalu berpusat tidak memenuhi keperluan kesihatan dan demografik berbeza penduduk Sarawak.

“Sistem pemerolehan berpusat dalam bentuk orang tengah juga semakin meningkatkan kos penjagaan kesihatan dan ubat-ubatan,” katanya.

Bagi mengatasi perkara ini, manifesto PH menyatakan ia akan menggalakkan persaingan terbuka proses pemerolehan bekalan perubatan, ubat-ubatan dan perkhidmatan kesihatan.

Ia juga akan meningkatkan dan menambah baik semua hospital kerajaan di Sarawak dan melengkapkannya dengan pusat rawatan penyakit kanser dan jantung.

Manifesto itu juga berjanji untuk menghapuskan kawalan perdagangan dan sistem perlesenan yang dilaksanakan kerajaan BN sehingga mewujudkan monopoli, kronisme dan peningkatan sewa.

Sasaran utama adalah untuk menghapuskan permit import terkawal kereta, beras, gula, simen dan pelbagai barangan lain yang didakwanya punca kenaikan harga.

Selain itu, proses “Borneonisasi” perkhidmatan awam juga akan dilakukan, serta perubahan dalam bidang sukan, keselamatan sosial, pembangunan infrastuktur awam, pelancongan dan sumber alam semulajadi.

Menyentuh pengurusan sumber semulajadi Sarawak, PH berkata syarikat petroleum yang ditubuhkan BN, Petros, akan digantikan dengan syarikat “setaraf Petronas” dan dinamakan Sarawak Petrogas.

Syarikat itu akan menjawab terus kepada Dewan Undangan Negeri.

Seperti Petros, ia akan dimiliki sepenuh oleh kerajaan negeri. Tetapi, skopnya lebih besar kerana Petros sekarang hanyalah seperti sub kontraktor Petronas yang mengharapkan “diberi kerja pengedaran dan sub kontrak”. – 20 Januari, 2018.

Source: https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/33509/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here